Tuesday, March 24, 2015

7 Langkah Asas Dalam Pengurusan Kewangan

,
Sebagai seorang Perancang Kewangan dan Perunding Takful, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menerangkan konsep asas dalam pengurusan kewangan yang efisien.

Di dalam setiap pembentangan kepada pelanggan, saya akan menekankan konsep pengurusan kewangan secara umum sebelum masuk kepada topik takaful. Ia bertujuan untuk memberikan gambaran kepada pelanggan tentang hubung kait antara takaful dan pengurusan kewangan serta bagaimana takaful menjadi satu elemen penting dalam pengurusan kewangan yang efisien.

Asas pengurusan kewangan boleh dibahagikan kepada 7 langkah/peringkat seperti berikut:



1. PENDAPATAN (Income)

Perkara pokok yang paling penting ialah sumber kewangan. Sumber kewangan diperolehi daripada pendapatan. Sumber pendapatan pula diperolehi daripada pekerjaan kita. Daripada pendapatan inilah kita perlu menguruskan kewangan. Jika tiada sumber kewangan bagaimana seseorang itu dapat menguruskan kewangan?


2. SIMPANAN (Saving)
Simpanan merupakan aspek utama yang penting dalam pengurusan kewangan. Jika seseorang itu gagal dalam menyimpan maka ia telah gagal dalam langkah asas dalam menguruskan kewangan. Amalan menyimpan akan melibatkan langkah/peringkat pengurusan kewangan yang seterusnya.

Terdapat pelbagai tujuan kita menyimpan antaranya sebagai tabung kecemasan, tabung pendidikan anak-anak dan pembelian aset. Sebaiknya jumlah simpanan bagi tabung kecemasan perlulah di antara 3-6 bulan gaji. Sebagai contoh jika gaji kita RM2000 sebulan maka kita perlulah mempunyai tabung kecemasan antara RM6000 – RM12000.


3. PERBELANJAAN (Expenses)

Perbelanjaan merujuk kepada perbelanjaan harian seperti makan, minum, kenderaan, rumah dan sebagainya. Lazimnya orang yang menerima gaji pada hujung bulan akan:

PENDAPATAN – PERBELANJAAN = SIMPANAN

Dalam pengurusan kewangan yang betul seharusnya kita:

PENDAPATAN – SIMPANAN = PERBELANJAAN

Perkara ini perlulah diterapkan dalam diri kita iaitu menyimpan dahulu sebelum berbelanja.


4. PERLINDUNGAN (Protection)

Apabila kita bekerja dan memperoleh PENDAPATAN kita akan MENYIMPAN, dan kita mestilah memastikan kedua-duanya dilindungi. Di sinilah yang dimaksudkan dengan perlindungan iaitu melindungi pendapatan dan simpanan kita apabila ditimpa musibah yang tidak diduga.

Bayangkan anda telah menyimpan dengan gigih setiap bulan selama 10 tahun dengan tujuan untuk membeli rumah idaman. Secara tiba-tiba anda diuji dengan penyakit kanser dan memerlukan pembedahan. Sudah semestinya ia memerlukan kos dan sudah pasti anda akan menggunakan duit simpanan anda. Adakah anda mahu duit simpanan anda lesap begitu sahaja untuk membayar kos pembedahan yang berpuluh ribu? Di sinilah kita perlunya perlindungan melalui instrumen takaful dan insurans.


5. PELABURAN (Investment)

Pelaburan merupakan aspek penting yang perlu ada dalam dunia moden kini dalam mencapai pengurusan kewangan yang cekap dan efisien.

Di zaman nenek moyang kita mereka menyimpan duit di bawah bantal/katil setiap hari. Jika mereka menyimpan RM10 sebulan maka apabila genap setahun mereka akan memperoleh RM120 (RM10 X 12 bulan). Di zaman moden kini jika kita menyimpan RM10 sebulan maka apabila genap setahun kita akan memperoleh RM150!! Duit masuk dengan hanya kita menggoyang kaki di rumah! Ini akan berlaku hanya jika kita menggunakan instrumen seperti Tabung Haji, ASB, Unit Trust, Takaful, insurans dan sebagainya. Setiap instrumen tersebut mempunyai risiko dan keuntungan yang berbeza. Inilah yang dipanggil sebagai pelaburan.


6. PENYUCIAN (Purification)

Dalam kita mencari harta dan wang, Islam mewajibkan ZAKAT pada setiap umatnya bagi menyucikan harta kita. Tidak semua rezeki dan harta yang kita perolehi milik kita sahaja. Sebahagian harta kita adalah milik orang yang kurang berkemampuan. Di sinilah kita memerlukan penyucian harta supaya rezeki yang diperolehi berkat dan diredhai Allah. Sedekah amal jariah juga dikira sebagai penyucian harta.


7. PEMBAHAGIAN (Distribution)

Harta yang kita cari dan simpan semasa hidup tidak akan dibawa ke kubur. Selepas kematian kita, segala harta benda kita akan diserahkan pada orang lain. Inilah fungsi WASIAT bagi memastikan pembahagian harta kita berjalan lancar.


Kebanyakan masyarakat kita tidak mementingkan wasiat kerana menganggap faraid telah ada. Ianya betul kerana faraid itu adalah hak tetapi penyediaan wasiat juga penting dalam memastikan proses pembahagian mengikut faraid berjalan lancar dan tidak berlaku sebarang pertelingkahan.

*Boleh hubungi saya untuk mendapatkan khidmat perancang kewangan secara terus

0 comments to “7 Langkah Asas Dalam Pengurusan Kewangan”

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...