Thursday, May 21, 2015

INSURANS: Kepentingan Membuat Penamaan

,

INSURANS hayat bertujuan untuk memastikan orang yang disayangi dilindungi dari segi kewangan jika terjadi sesuatu terhadap diri anda. Sekiranya anda tidak membuat penamaan dalam polisi insurans anda, maka syarikat insurans berhak untuk tidak melepaskan wang polisi sehinggalah orang yang disayangi itu mendapat Perintah Probet atau Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian. Ini mungkin mengambil masa sehingga beberapa tahun. Walaubagaimanapun, sekiranya ada penamaan, wang polisi boleh diagihkan dengan lebih cepat.

Bagi pemegang polisi yang bukan beragama Islam, suatu amanah akan diwujudkan untuk penama yang berkeadaan seperti berikut:­
  • Jika penama adalah suami atau isteri atau anak pemegang polisi, atau

  • Jika penama adalah ibu bapa pemegang polisi (dengan syarat tidak ada suami / isteri / anak yang masih hidup pada masa penamaan dibuat).


Polisi berkenaan dikenali sebagai polisi amanah. Sebagai polisi amanah, wang polisi tidak menjadi sebahagian daripada harta pusaka pemegang polisi yang meninggal dunia. Oleh itu, ia tidak tertakluk kepada hutang­-piutang si mati.

Polisi amanah tidak diguna pakai bagi kes pemegang polisi yang beragama Islam. Penama bagi pemegang polisi yang beragama Islam menerima wang polisi hanya sebagai wasi dan ia mestilah mengagihkan wang itu mengikut undang-­undang Islam.


Bilakah anda perlu membuat penamaan?

Sekiranya anda berumur 18 tahun ke atas, maka anda boleh menamakan seorang individu atau beberapa individu untuk menerima wang polisi apabila anda meninggal
dunia. Penamaan biasanya dilakukan semasa membuat permohonan polisi insurans hayat atau pada bila­-bila masa dirasakan perlu.


Bagaimanakah cara membuat penamaan?
  •  Isikan borang penamaan yang disediakan oleh syarikat insurans, yang biasanya memerlukan butir­-butir penama, seperti nama, tarikh lahir, nombor kad pengenalan atau sijil kelahiran dan alamat.
  • Pastikan borang penamaan ditandatangani oleh seorang saksi yang berumur 18 tahun dan ke atas, sempurna akal dan juga bukan penama anda.
  • Pastikan syarikat insurans anda mengesahkan penamaan, sama ada di dalam dokumen polisi atau borang penamaan.
  • Anda boleh menamakan lebih daripada seorang penama, dan nyatakan kadar bahagian hak bagi setiap penama.
  • Jika anda tidak menetapkan kadar bahagian yang perlu dibayar kepada setiap penama, wang polisi akan diagihkan sama rata antara kalangan penama.


Siapakah yang boleh anda lantik sebagai penama?

Anda bebas untuk menamakan sesiapa yang anda kehendaki. Walau bagaimanapun, tidak semua penama akan menerima wang polisi secara benefisial atau untuk kegunaan mereka sendiri.

Dalam kes bagi pemegang polisi bukan seorang Islam, tertakluk kepada pertalian antara pemegang polisi dengan penama, seseorang penama boleh menerima bahagian wang polisinya, sama ada secara benefisial atau sebagai pemegang amanah atau wasi.


Peranan pemegang amanah

Pemegang amanah boleh juga dilantik untuk menerima wang polisi bagi polisi amanah. Apabila pemegang polisi meninggal dunia, tugas pemegang amanah ialah menerima wang polisi dan mengagihkan dengan sewajarnya kepada penama­-penama. Pemegang amanah hendaklah bertindak bagi kepentingan penama pada setiap masa.


Menukar penamaan

Anda boleh meminda penamaan dengan menulis kepada syarikat insurans hayat anda. Penamaan yang terakhir akan menggantikan semua penamaan yang terdahulu. Penamaan akan dianggap batal apabila penama atau semua penama (jika lebih daripada seorang penama) meninggal dunia pada masa pemegang polisi masih hidup. Walau bagaimanapun, dalam kes polisi amanah, penamaan tidak boleh dibatalkan tanpa mendapat persetujuan bertulis daripada pemegang amanah.


Apakah akan terjadi jika tiada penamaan?

Jika tiada penamaan dibuat, syarikat insurans akan membayar wang polisi kepada pemohon yang mengemukakan Perintah Probet atau Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian.

Walau bagaimanapun, syarikat insurans, atas budi bicaranya sendiri, boleh membuat bayaran kepada pihak yang menuntut tanpa memerlukan Perintah Probet bagi keadaan-keadaan berikut:­

  • Jika pihak menuntut adalah suami / isteri, anak atau ibu bapa pemegang polisi, syarikat insurans boleh membayar kepada suami atau isteri, anak atau ibu bapa pemegang polisi mengikut aturan keutamaannya. Jika terdapat lebih daripada seorang dalam mana-­mana kategori tersebut di atas, maka semua individu dalam kategori itu akan dibayar bahagian yang sama rata.
  • Jika tiada suami / isteri, anak atau ibu bapa dan wang polisi tidak melebihi RM100.000, maka syarikat insurans boleh membayar wang polisi kepada seseorang yang syarikat insurans berpuas hati bahawa orang tersebut berhak dan berkemungkinan diberikan Perintah Probet atau Surat Kuasa Mentadbir atau kepada seseorang yang syarikat insurans berpuas hati yang orang itu berhak secara benefisial kepada harta pusaka pemegang polisi yang meninggal dunia.
  • Jika tiada suami atau isteri, anak atau ibu bapa dan wang polisi melebihi RM100,000:­
Ø  Syarikat insurans boleh membayar RM100,000 yang pertama kepada seseorang seperti yang dinyatakan dalam perenggan di atas. Baki wang polisi akan dibayar kepada orang yang sama apabila orang itu mengemukakan Perintah Probet atau Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian.

Ø  Walau bagaimanapun, setelah tamat tempoh 12 bulan selepas bayaran RM100.000 pertama dibuat dan tiada tuntutan untuk baki wang polisi oleh sesiapa yang memegang Perintah Probet atau Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian, syarikat insurans akan membayar baki tersebut kepada orang yang telah menerima pembayaran pertama.

Jika tidak ada penamaan yang dibuat, orang yang menerima wang polisi hanya sebagai wasi dan ia hendaklah mengagihkannya mengikut wasiat si mati. Jika tiada wasiat, wang polisi tersebut akan diagihkan mengikut undang-undang pembahagian yang berkaitan.



*Artikel ini dipetik dari Akhbar Berita Harian 18 MEI 2015



0 comments to “INSURANS: Kepentingan Membuat Penamaan”

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...