Friday, May 22, 2015

TAKAFUL: Polisi Pendidikan Anak

,

Apakah polisi pendidikan anak?

Polisi pendidikan anak ialah produk insurans hayat yang direka khas sebagai satu instrumen simpanan untuk menyediakan sejumlah wang apabila anak anda sampai pada peringkat pengajian tinggi iaitu universiti atau kolej (18 tahun ke atas). Dana ini dapat digunakan untuk memenuhi kos pengajian anak anda yang kian meningkat. Tambahan pula jika anda mengambil rider ‘parent contributor’, bayaran premium/bulanan akan menjadi percuma jika berlaku kematian, lumpuh kekal keseluruhan dan sakit kritikal terhadap ibu bapa. Ini dapat memastikan anak anda boleh meneruskan pengajian walaupun anda ditimpa musibah.


Kenapa anda perlu merancang awal untuk pendidikan anak?

Kos untuk pengajian tinggi semakin meningkat disebabkan kadar inflasi dan beberapa faktor ekonomi lain. Peningkatan kos pendidikan ini boleh menyumbang kepada masalah kewangan kepada ibu bapa apabila anak ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Jadi adalah penting bagi ibu bapa untuk merancang awal supaya tidak terbeban di kemudian hari. Semakin awal anda mengambil polisi pendidikan semakin banyak wang yang boleh terkumpul untuk membiayai pendidikan anak di masa akan datang.

Terdapat fleksibiliti dalam jumlah wang yang dicarum setiap bulan mengikut pelan yang dipilih iaitu pelan simpanan atau pelaburan. Sebagai contoh, anda boleh memilih untuk simpanan yang rendah dan meningkatkan amaun simpanan apabila gaji meningkat. Adalah penting untuk anda mengambil polisi yang menyediakan fleksibiliti untuk menambah simpanan di masa hadapan.


Berapa banyak perlindungan yang anda perlukan?

Langkah pertama dalam menentukan jumlah perlindungan adalah mengenalpasti matlamat. Apakah matlamat anda untuk pendidikan anak-anak? Berikut merupakan beberapa faktor yang perlu diambilkira dalam menentukan jumlah perlindungan:

·      Tempat Belajar – Luar negara atau dalam negara? Jika luar negara apakah pilihan negara dan kos sara hidup di sana?

·      Tahap Pendidikan – Diploma atau Ijazah?

·      Pilihan Universiti atau Kolej – Kebanyakan universiti atau kolej ternama memerlukan kos yang lebih tinggi

·      Bidang Pengajian – Kursus perubatan selalunya memerlukan kos yang lebih tinggi.

·      Jangka Masa Pengajian

Daripada faktor di atas kita boleh menganggar kos yang diperlukan. Sebagai panduan, anda boleh menambahkan yuran tahunan dan kos sara hidup dan didarabkan dengan tahun pengajian. Ini boleh memberikan petunjuk berapa kos yang diperlukan pada hari ini. Disebabkan kos pendidikan semakin meningkat anda juga perlu mengambil kira faktor inflasi. Selepas ditambah dengan kos faktor inflasi anda akan mendapati jumlah kos pendidikan di luar kemampuan anda. Walau bagaimanapun dengan meletakkan duit anda pada pelan simpanan atau pelaburan, pulangan dari pelaburan tersebut akan meningkat setiap tahun dan sedikit sebanyak dapat menampung kos pendidikan anak anda di masa hadapan.


Jenis polisi pendidikan

Terdapat dua jenis iaitu endowmen dan polisi berasaskan pelaburan (Investment Link). Perbezaannya dari segi struktur dan pelaburan.

1. Polisi Endowmen
Pelan ini lebih kepada simpanan. Premium / bayaran bulanan bagi polisi endowmen adalah tinggi dan perlindungan adalah rendah. Sebagai contoh, jika anda mengambil polisi endowmen dengan jumlah pampasan sebanyak RM30,000 selama 20 tahun. Cukup tempoh matang anda akan dapat RM30,000. Jika berlaku kematian atau lumpuh kekal keseluruhan sebelum tempoh matang  tetap akan dapat RM30,000. Kalau surrender atau berhenti sebelum tempoh matang akan dapat nilai tunai yang sedikit dan selalunya lebih sedikit dari jumlah caruman.

2.Polisi berasaskan pelaburan (Investment Link)
Pelan ini adalah gabungan simpanan dan perlindungan. Premium / Bayaran bulanan bergantung kepada anda. Jika anda mahukan perlindungan yang tinggi, simpanan akan menjadi rendah. Jika mahukan simpanan yang tinggi perlindungan akan menjadi rendah. Jika mahukan perlindungan dan simpanan yang tinggi anda perlu menambah premium bulanan. Polisi berasaskan pelaburan adalah fleksibel kerana anda boleh menambah atau mengurangkan jumlah simpanan pada bila-bila masa.


Polisi yang mana perlu dibeli?

Polisi yang harus dibeli bergantung kepada objektif dan pengurusan risiko anda. Tugas ejen insurans adalah mengenal pasti kehendak dan keperluan klien dan menentukan jenis polisi yang sesuai mengikut bajet anda.


Tips untuk membeli polisi pendidikan anak:

·      Pastikan anda mengambil rider parent contributor
Rider parent contributor akan memberikan bayaran bulanan percuma setiap bulan sehingga tempoh matang apabila pembayar (ibu bapa) mengalami sakit kritikal, lumpuh kekal keseluruhan atau meninggal dunia. Dengan mengambil rider ini tabung simpanan pendidikan untuk anak anda akan terjamin walaupun anda ditimpa musibah.

·      Pastikan premium/bayaran bulanan yang anda mampu
Menyimpan melalui takaful dapat mendisiplinkan anda untuk menyimpan setiap bulan sehingga bertahun-tahun. Ianya adalah proses jangka masa panjang. Jadi anda perlu menentukan berapa premium yang anda mampu mengikut pendapatan dan perbelanjaan anda. Jika anda bermula dengan premium yang tinggi anda mungkin akan surrender di pertengahan jalan dan menyebabkan kerugian yang besar. Jadi mulakan dengan bajet seminimum mungkin.

·      Awasi dana anda
Selepas anda telah membeli polisi anda perlulah memantau dana anda bagi memastikan anda dapat mencapai objektif. Pulangan sebenar dana adalah berbeza dari ilustrasi produk. Kemungkinan banyak atau kurang dari yang dinyatakan di dalam polisi. Dana ini berubah mengikut pasaran kewangan.

·      Jangan tambah perlindungan yang tidak diperlukan
Kebanyakan polisi pendidikan menawarkan perlindungan seperti kad perubatan, perlindungan sakit kritikal dan perlindungan kemalangan. Ianya terpulang kepada bajet anda. Jika objektif anda hanyalah untuk simpanan pendidikan jadi anda tidak perlu untuk mengambil perlindungan yang lain. Tambahan perlindungan lain akan meningkatkan premium bulanan anda.



1 comments:


  1. Nice respond in return of this query with genuine arguments and explaining the whole thing about that. itunes login account

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...